Chapter 1
Sebuah kereta BMW 5 Siries berwarna biru berlalu pergi setelah keluar dari perkarangan rumah teres itu. Sarah, gadis yang menghuni rumah itu pun menutup pagar rumah sebelum masuk kembali ke dalam rumah tersebut. Baru sekejap tadi Aiman, suaminya memandu untuk ke pejabat untuk memulakan tugas pada hari itu.
Di rumah, Sarah mula mengemas-ngemas rumah. Surat khabar yang baru dibaca suaminya itu tadi dilipat dan diletakkan diatas meja di ruang tamu. Ruang makan yang tadinya digunakan untuk bersarapan dengan suami tersayang juga dikemas dan di lap bersih.Segala pinggan mangkuk dicuci bersih sebelum di tirap untuk dikeringkan.
Jam ketika itu sudah menunjukkan pukul 9:15 pagi. Ini waktu yang sesuai untuk ke pasar bisik hati sarah. Jika dilambat-lambatkan nanti hari makin panas pula. Ada serba sedikit barangan dapur yang perlu ditambah. Gula dan bawang juga harus di beli kerana sudah hampir habis digunakan. Seraya itu Sarah mula menapak anak tangga menuju biliknya untuk menukar pakaian.
Setelah mengenakan pakaian sesuai Sarah meluru menuruni anak tangga. Kunci rumah dan beg duit dicapainya. Setelah yakin suis tv,lampu dan kipas semua telah dipadamkan, Sarah mula menolak tombol pintu dan menguncinya dari luar. Mangga dipasang dan pintu pagar rumah dikunci, Setelah memastikan semuanya dikunci, Sarah mengatur langkah ke pasar.
Tangan Sarah rancak memilih bawang di pasar itu. Bawang itu dipilihnya penuh tertib agar tidak terambil bawang yang tidak elok. Maklum sahajalah tidak semua bawang di dalam guni yang sama itu sama eloknya. Sekiranya Sarah terpilih bawang yang tidak elok pasti tidak dapat tahan lama. Lagi pula hanya Sarah dan Aiman berdua sahaja di rumah. Barang dapur pun tidak perlu dibeli dengan banyak. Cukup sekadar untuk mengisi perut mereka berdua.
Walaupun baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan Aiman, Sarah tidak kekok menjalani rutin seperti seorang surirumah. Ini kerana memang dia telah diajar oleh ibunya semenjak dari kecil lagi tentang kerja-kerja di dapur. Selain dirinya ialah anak bongsu kepada pasangan Pak Malek dan Mak Siti, Sarah jugalah satu-satunya anak perempuan di dalam keluarga. Sarah mempunya tiga orang abang iaitu Saiful, Safuan dan juga Shahrul.
Setelah pasti segala keperluan dapur telah dibelinya, Sarah Keluar dari pasar dan langkahnya menuju ke kedai buku. Tujuannya ingin membeli sedikit majalah yang dapat dibeleknya di rumah nanti. Hendak di harapkan rancangan tv sahaja pun tidak memadai. Malah kadang hampir pening kepalanya dengan rancangan tv yang datang dari pelbagai negara itu. Sekurang-kurannya dengan majalah tersebut tidaklah Sarah terasa sunyi walaupun ketika Aiman tiada di rumah kerana bekerja.
Di pejabat, Aiman seperti biasa akan memulakan tugas pagi itu dengan meneliti buku jurnalnya. Kerana hampir semua tugasnya perlu dicatatkan agar tidak terlupa. Memegang jawatan sebagai seorang Eksekutif memerlukan Aiman sentiasa focus akan skop kerjanya. Ini kerana beliau bernasib baik kerana mempunyai pasukan rakan kerja yang saling bekerjasama supaya matlamat syarikat dapat dikecapi tanpa perlu ada sebarang masalah.
Kira-kira 15 minit lagi waktu akan berganjak ke angka 12 tengahari, sudah hampir tiba waktu makan tengahari. Hampir tidak sedar Aiman bahawa matahari sudah kelihatan agak tinggi di luar jendela. Tugas yang padat hari itu membuatkan Aiman terleka untuk menyudahkan kerja-kerjanya.
Ketukan pintu pejabatnya telah mengejutkan Aiman, itu pasti Borhan. Rakan karibnya dari zaman persekolahan itu yang kini sama-sama bekerja di pejabat yang sama, Arjuna Sukma Holding. Walaupun kedua-dua mereka masing-masing melanjutkan pengajian tinggi di institut pengajian tinggi yang berbeza. Tapi takdir juga telah menemukan mereka kembali apabila sama-sama merupakan Eksekutif di syarikat Korporat itu.
“Assalamualaikum pekerja contoh.” Usik Borhan.
“Waalaikumsalam. Hah,kau Borhan. Tak habis-habis nak mengusik aku.” Balas Aiman.
“ Habis tu, kalau tak diusiknya kau alamatnya sampai ke petang la kau leka dengan kerja kau.” Tempias Borhan sambil berseloroh. Aiman yang tadinya meneliti fail-fail sudah mula menolak semuanya ke tepi sambil mengemas serba sedikit mejanya agar semuanya beres sebelum mereka keluar untuk makan tengahari.
“ke mana kita nak lunch hari ni? Tanya Aiman.
“hmmmm… memandangkan kau tanya aku hendak makan dimana hari ni, yang pasti aku dah bosan makan yang dekat sekitar sini. Apa kata aku ajak kau makan di bulan? Kau setuju?” Ujar Borhan tanpa segan-segan berjenaka.
“kau ni Borhan, kalau ye kau da bosan makan di bumi ni sekalipun takkan la sampai ke bulan kau nak ajak aku makan. Paling tidak pun tunggu la waktu malam baru la boleh makan di bulan.” Ucap Aiman kepada kawan karibnya itu.
Rasa dirinya diperli, Borhan mula mempamerkan senyuman sinis. Namun sesekali hampir ketawa mengenangkan kata-kata Aiman itu. Ada betulnya juga.
“Maksud aku, aku nak bawa kau ke Cafe Oh Bulan yang di Sunway Damansara tu, aku dengar Coffee Cream Tiramitsu dia sangat popular. Apa salahnya sesekali mencuba yang baru kan?” usik Borhan nakal.
“boleh juga tu, tapi kau tau jalan ke sana? Soal Aiman.
“hei kawan, apalah gunanya teknologi sekarang. GPS kan ada. Hehehe.” Jawab Borhan dengan bangganya.
“ iyalah, harap-harap GPS kau tu boleh cari parking sekali lah ye? Biasanya time lunch macam ni susah nak cari parking.” Seloroh Aiman kepada kawan baiknya itu.
Setibanya mereka berdua di Cafe Oh Bulan, mereka melabuhkan punggung di meja makan sebelah luar cafe tersebut. Biasalah, senang untuk Borhan merokok. Aiman sudah masak akan Sikap Borhan itu. Waktu lunch lah untuk Borhan merokok pun kerana di pejabat memang Borhan Tidak akan sentuh rokok. Mungkin juga sebagai menghormati pekerja-pekerja lain dan juga sebagai contoh untuk menyatakan budaya merokok ini tidak sesuai ketika di pejabat.
Pelayan yang mengambil pesanan telah berlalu meninggalkan Aiman dan Borhan. Pasti sebentar lagi pesanan mereka akan siap. Borhan yang tadinya tenang seakan mencari sesuatu di dalam koceknya. Ia, rokoknya pasti tertinggal di dalam kereta dan terlupa untuk dimasukkan ke dalam koceknya. Borhan meminta izin rakannya itu bahawa dia ingin ke kereta sebentar mengambil kotak rokoknya.
“Ada- ada sahaja Borhan ni.” Bisik hati Aiman. Keletah Borhan sebentar tadi itu dianggap lucu oleh Aiman. Masakan tidak, Borhan kadangkala seringkali tertinggal sesuatu. Masih ingat lagi Aiman ketika mereka berdua ditugaskan mengikuti kursus di Terengganu, Borhan terlupa untuk membawa kad kreditnya. Tapi paniknya Borhan kerana dia tidak pasti sama ada kad kreditnya itu memang tertinggal ataupun telah hilang dari beg duitnya. Apa lagi, terus di telefon isterinya, Maya. Nasibnya baik kerana mempunyai rm600 cash. Jika tidak mengamuk sakan la Maya kerana banyak juga barang yang di kirim untuk dibeli Borhan di negeri penyu bertelur itu.
Aiman terlalu leka dengan peristiwa yang berlaku di Terengganu itu sehinggakan seseorang menegurnya pun Aiman tidak perasan. Suara yang menegurnya itu jika tidak silap suara perempuan. Tetapi siapa? Siapa pula gerangan pemilik suara tersebut? Sebelum Aiman bertambah bingung memikirkan pemilik suara itu baik dia segera berhenti mengelamun.
“En. Aiman Bin Dato’ Kamal kan?” tegur suara itu.
“iya saya. Dan awak ni.” Aiman tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Kerana ia dicelah oleh gadis itu.
“Trisya. Junior abang di kolej dulu.” sahut Trisya.
Baru Aiman ingat kembali, Dinda Nur Trisya. Gadis yang sama-sama belajar di kolej yang sama dengan Aiman. Tetapi Trisya merupakan junior kepada Aiman. Masakan Aiman lupa. Jadi sekarang, tentu sahaja gadis ini telah tamat pengajiannya. Kerana dari pakaiannya memang seperti sudah bekerja.
“Boleh Trisya duduk?” ujar Trisya lembut.
“Hmm.. Silakan.” Balas Aiman dengan sedikit kebingungan. Mungkin dia masih tidak percaya bahawa gadis yang duduk di depannya itu adalah Trisya. Gadis manja yang dikenali di kolej dulu. Tapi kini gadis itu memakai Skirt kelabu paras lutut bersama kotnya kelihatan seperti satu set digayakan juga dengan blouse putih di dalam. Juga anggun dikenakan bersama kasut heels kulit berwarna hitam.
“Abang Aiman seorang sahaja ke minum disini? Trisya tak nampak pun kawan-kawan abang?” Trisya mengaju soalan. Aiman mula mengelabah. Kenapalah dipanggilnya aku abang, ini bukan di zaman kolej lagi. Lagipun masing-masing sudah bekerjaya.
“Eh,tak perlulah berabang-abang dengan saya. Panggil saja Aiman.Tak lah. I dengan kawan I, Borhan. Dia tertinggal sesuatu di kereta. Haaa… tu pun dia dah sampai.” Kata Aiman separuh gembira tatkala ternampak kelibat Borhan sedang menuju kea rah mereka. Sekurang-kurangnya tidaklah dia begitu kekok berbual berdua bersama Trisya.
“Oh, lupa pulak sebab dulu da terbiasa” balas Trisya manja.
Borhan telah pun sama-sama duduk dimeja itu semula. Bersamanya kini kotak rokok Marlboro lights menthol berwarna hijau muda. Hendak dikeluarkan sebatang terasa ralat pula. Mungkin kerana ada seorang gadis bersama mereka. Sebelum Borhan dilanda bingung, Trisya bertindak memperkenalkan diri.
“Nama saya Trisya.” Trisya memperkenalkan diri sambil ingin berjabat tangan dengan Borhan. Borhan membalas huluran tangan Trisya.
“Trisya ni bekas junior Aiman sewaktu di kolej dulu. Tak sangka hari ni kebetulan terjumpa dengan Aiman semula.” terang Trisya kepada Borhan tanpa disoal .
“Oh, begitu rupanya. Bagus la tu. Jadi sekarang Trisya sudah bekerja ke?” Tanya Borhan cuba bersikap ramah.
“Alhamdulillah sekarang Trisya sudah bekerja. Disekitar sini juga sebagai setiausaha kepada Dato’ Syazan di Syazan Enterprise. Ofis Trisya nun di sebelah bangunan maybank sana.” Trisya menunjukkan isyarat tangan ke arah kanan mereka.
Perasan akan tangan Borhan yang seakan serba salah memegang kotak rokok itu, Trisya bersuara kembali.
“ Tak mengapalah kalau u nak merokok. Jangan risau, I open.” Ujar Trisya sebelum dia mengeluarkan rokok dari tas tangannya. Nampaknya bukan dia seorang sahaja yang merokok fikir Borhan. Disangkanya gadis semanis Trisya tidak merokok, nyata tekaan Borhan meleset. Zaman sekarang sudah banyak berubah. Apa yang lelaki buat pun banyak juga wanita ikut mencuba. Termasuklah merokok. Bagi Borhan itu pandangan individu masing-masing.
Setelah semuanya selesai makan dan bil juga telah dibayar oleh Aiman, Trisya meminta diri. Katanya ada seseorang yang harus dia jumpa sebelum beliau pulang ke pejabat. Aiman yang ketika itu sedang mahu pergi ke arah kereta telah dicuit Borhan.
“Itu je?” Bisik Borhan agak rapat ke telinga Aiman.
Aiman memandang muka rakannya itu habis-habis. Apakah masih ada sesuatu yang tidak beres yang Aiman tidak sedar? Tiada apa-apa lagi rasanya jawab hati Aiman.
“Maksud kau Borhan?” Tanya Aiman keliru.
“Kad kau. Tak kau beri pada Trisya?” soal Borhan beriya-iya.
Seakan disuruh, Aiman mengeluarkan sekeping business card yang tersisip di dalam walletnya lalu memberikan kepada Trisya sebelum gadis itu berlalu.
“Thanks Aiman. Ujar Trisya gembira. Seperti pucuk dicita ulam mendatang. Tentu sahaja kad itu akan disimpan rapi oleh Trisya. Kemudian Trisya meninggalkan Aiman dan Borhan dengan agak tergesa-gesa sebelum sempat mengatakan sesuatu kepada Aiman.
“Jumpa lagi nanti kalau ada rezeki. Jangan lupa sampaikan salam Trisya pada isteri Aiman tau?” sayup terdengar ungkapan Trisya itu dari kejauhan.
Itu betul-betul membuat Aiman tercengang. Bagaimana Trisya tahu bahawa dirinya sudahpun berkahwin? Bagus juga jika dia sudah tahu, tapi bagaimana? Apa mungkin dia dapat tahu dari rakan-rakan kolej? Adakah gayanya sekarang memang seperti gaya seorang yang telah mendirikan rumahtangga? Atau Trisya sengaja serkap jarang dengan meneka sedemikian? Banyak soalan yang berlegar-legar di minda Aiman tapi sengaja dipadamkan tanpa sebarang jawapan.